Saturday, January 15, 2011

Matlamat suatu impian...

Ada yang keliru dan menyangka bahawa kalau kita ada sesuatu impian yang besar, tentu ia sukar untuk dicapai. Mudahlah lemah semangat dan hilang motivasi nanti. Bukan begitu cara untuk memikirkannya. Mutiara kata ini digunakan semasa kita terasa penat apabila menghadapi masalah dan cabaran semasa ingin mencapai matlamat. Sebagai contoh, katakan anda mahu mendapat ‘Straight A’s ‘ pada tahun 2011. Kemudian semasa belajar dan mengulangkaji, anda rasa ia begitu susah hingga anda tertekan dan benci kepada apa yang anda belajar. Ketika ini, bagus jika anda ingat mutiara kata ini. Kata kepada diri anda, “kalau susah macam ni, hasilnya pun mesti besar juga.”
Mengulangkaji
Jangan gunakan mutiara kata ini semasa anda hendak mula meletakkan matlamat. Sebagai contoh, anda mahu letak matlamat sebagai pelajar paling cemerlang di sekolah, kolej atau universiti anda. Ini merupakan satu IMPIAN yang sangat besar dan bermakna buat anda. Namun, anda terfikir, “kalau besar impian, besar jugalah halangannya nanti.” Jika berfikir begini, anda pasti mudah lemah semangat dan mengalah.

Anda perlu ingat, susah atau senang bergantung kepada apa yang minda anda sedang fokuskan. Apabila disuruh bangun awal pagi untuk ke sekolah atau kelas, anda mungkin merungut dengan perkataan ‘susah’ atau ‘mengantuk’. Ini kerana anda sedang fokus kepada beban bangun pagi dan perasaan mahu lawan rasa mengantuk. Namun jika perlu bangun pagi untuk pergi lawatan ke luar negeri atau ada pertandingan sukan yang anda minat, langsung anda tidak merungut. Malah anda bangun dengan perasaan sangat ceria. Ini kerana minda anda sedang fokus kepada keseronokan pergi melawat atau menyertai pertandingan sukan tadi.

Jadi, setiap kali anda hadapi kesukaran, masalah dan cabaran semasa mahu mencapai IMPIAN anda, fokuskan minda anda kepada keseronokan yang bakal anda kecapi tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment