Thursday, March 15, 2012

Merenung ujian Allah

1. Banyak ketikanya yang mungkin kita tidak mengerti dan mulai berasa pelik dengan cara Allah SWT menguji hambanya. Kenapakah bila Allah SWT sayang kepada hambaNya, Dia timpakan musibah? Kenapakah ada ketikanya, Allah SWT murka kepada hambaNya tetapi diberi rezeki, melimpah ruah? Kenapakah Allah SWT datangkan musuh kepada kekasihNya? 2. Nabi SAW yang merupakan kekasihNya dan antara yang berpendapatan lumayan (satu perlima daripada rampasan perang milik baginda) tetapi hidup miskin dan terpaksa mengikat perut dengan batu kerana menahan lapar. Sedangkan Umayyah bin Khalaf hidup mewah, senang lenang dengan rezeki melimpah ruah. 3. Nabi Musa a.s. juga pernah hidup dalam keadaan miskin sehingga terpaksa memakan daun-daun kayu, sedangkan Qarun yang jahat itu hidup mewah semewah-mewahnya. Kunci gudang hartanya sahaja pun terlalu banyak dan berat. 4. Allah SWT menyesatkan Firaun tetapi memberi hidayah kepada isterinya sehinggakan doa Asiah yang memohon dibina rumah untuknya dalam syurga dimaktubkan dalam wahyuNya. Allah SWT menjadikan Nabi Nuh dan Nabi Lut sebagai nabiNya dan hambaNya yang soleh tetapi menyesatkan isteri-isteri mereka. Bila Nabi Nuh cuba berdoa untuk anaknya, Allah mencegah Nabi Nuh dari berbuat demikian. 5. Allah SWT menjadikan Nabi Ibrahim a.s sebagai kekasihNya (khalil) tetapi menyesatkan bapa Ibrahim a.s. Apabila Ibrahim a.s cuba memohon ampun kepada Allah bagi pihak bapanya, Allah SWT melarang doa tersebut. 6. Allah SWT memilih untuk memberi hidayah dan kemuliaan iman kepada Bilal Bin Rabah, seorang hamba abdi berkulit hitam yang dihina masyarakat berasal dari Ethiopia, tetapi tidak memberi hidayah kepada Abu Talib bapa saudara Nabi SAW, seorang bangsawan yang banyak menolong dan melindungi Nabi SAW. Allah juga tidak memberi hidayah kepada Abu Lahab seorang elit yang sangat dihormati oleh bangsanya. 7. Apa kata Allah Jalla wa ‘Ala? Jawapannya, dalam Surah Al-Anbiya ayat 23, maksudnya, “Dia (Allah) tidak ditanya tentang apa yang Dia lakukan tetapi merekalah (manusia) yang akan ditanya (tentang apa yang mereka lakukan). SUBHANALLAAH…

No comments:

Post a Comment